Sebuah helikopter membawa bekalan bantuan terhempas, mengorbankan lima kru, termasuk dua juruterbang, di wilayah barat laut Pakistan, Khyber Pakhtunkhwa, ketika hujan dan banjir kilat menyebabkan 227 orang terkorban di seluruh negara, lapor Anadolu.
Helikopter Mi-17 kerajaan wilayah sedang membawa bekalan bantuan ke kawasan terjejas akibat hujan lebat apabila ia terhempas “akibat cuaca buruk,” ketua menteri wilayah, Ali Amin Gandapur dipetik berkata.
Hujan dan banjir kilat mengorbankan 227 orang, termasuk 206 di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Anadolu memetik penyiar tempatan Geo.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) dilaporkan berkata ramai lagi masih hilang.
Kematian juga dilaporkan di wilayah Gilgit-Baltistan dan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan (juga dikenali sebagai Azad Jammu dan Kashmir).
Hujan lebat menyebabkan banjir meluas di Khyber Pakhtunkhwa, jurucakap unit penyelamat wilayah, Bilal Ahmed Faizi, sebelum ini dilaporkan memberitahu Anadolu melalui telefon.
Pasukan penyelamat dilaporkan berkata, hujan lebat menyebabkan banjir besar di kawasan Salarzai di daerah Bajaur pada pagi Jumaat, mengakibatkan beberapa rumah hanyut.
Gandapur dipetik berkata, helikopter yang terhempas itu sedang membawa bekalan ke kawasan Bajaur.
Pihak berkuasa tempatan memindahkan ramai orang ke tempat lebih selamat akibat hujan dan tanah runtuh di Khyber Pakhtunkhwa dan Gilgit-Baltistan.
NDMA telah memberi amaran mengenai satu lagi musim hujan monsun dari Jumaat hingga 10 September.
Pihak berkuasa juga memberi amaran kenaikan suhu mempercepatkan pencairan salji dan glasier merentasi kawasan altitud tinggi, meningkatkan aliran air di sungai.
Hujan monsun, yang biasanya berlangsung dari Jun hingga September, sering menyebabkan kemusnahan di Asia Selatan, termasuk Pakistan, tetapi perubahan iklim telah meningkatkan lagi ketidakpastian dan intensitinya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.



