Hamas mengulangi pada Rabu, ia bersedia untuk perjanjian Gaza yang komprehensif di mana semua tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan sejumlah tahanan Palestin yang dipersetujui, lapor Reuters.
Kenyataan kumpulan itu menurut Reuters dibuat sejurus selepas Presiden AS Donald Trump menggesa Hamas membebaskan semua 20 tebusan.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan mengkritik komen Hamas dalam satu kenyataan.
“Malangnya, ini adalah satu lagi putaran Hamas dengan tiada perkara baharu,” kenyataan itu dipetik sebagai berkata.
Pejabat Netanyahu dilaporkan mengulangi bahawa perang di Gaza hanya akan berakhir jika semua tebusan dibebaskan, Hamas dilucutkan senjata, jalur itu dimusnahkan, Israel menubuhkan kawalan keselamatan ke atas enklaf itu, dan pentadbiran awam alternatif ditubuhkan.
Hamas pada Ogos dilaporkan bersetuju dengan cadangan gencatan senjata selama 60 hari dengan Israel yang merangkumi pemulangan separuh tebusan yang ditahan di Gaza dan pembebasan beberapa tahanan Palestin oleh Israel.
Sumber rasmi Mesir dipetik berkata, cadangan yang diterima oleh Hamas termasuk penggantungan operasi ketenteraan Israel selama 60 hari dan menggariskan rangka kerja untuk perjanjian komprehensif untuk menamatkan konflik yang hampir dua tahun itu.
Netanyahu menurut Reuters berkata beberapa hari kemudian bahawa Israel akan segera meneruskan rundingan untuk pembebasan semua tebusan yang ditahan di Gaza dan menamatkan perang, tetapi dengan syarat yang boleh diterima oleh Israel.



