KOTA BHARU – Seorang guru sebuah sekolah di sini direman selama enam hari di Mahkamah Majistret hari ini bagi membantu siasatan kes amang seksual disyaki membabitkan pelajar lelaki.
Lelaki berusia 50-an itu direman bermula hari ini sehingga 21 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Ia susulan terdapat tiga laporan polis daripada mangsa yang mendakwa guru lelaki itu disyaki terbabit dengan kes amang seksual.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bagi membantu siasatan kes.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan lelaki berkenaan direman selama enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
“Terdapat tiga laporan polis daripada beberapa mangsa yang berusia belasan tahun. Pihak polis masih melakukan siasatan terhadap kes itu,” katanya.
BH ONLINE



