Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter melanda tenggara Afghanistan pada Khamis, Pusat Penyelidikan Geosains Jerman dilaporkan berkata, gegaran ketiga sejak Ahad, apabila salah satu gempa paling dahsyat di negara itu dalam beberapa tahun mengorbankan lebih 2,200 orang.
Naqibullah Rahimi, jurucakap jabatan kesihatan di wilayah Nangarhar, dilaporkan berkata pusat gempa berada di daerah terpencil Shiwa dekat sempadan Pakistan, dengan laporan awal kerosakan di kawasan Barkashkot.
Menurut laporan Reuters, gegaran itu pada kedalaman 10 km (enam batu), berikutan gempa bumi terdahulu yang meratakan kampung di wilayah Kunar dan Nangarhar, menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal, dan mencederakan lebih 3,600 orang.
Pekerja penyelamat pada Khamis dilaporkan mengeluarkan mayat dari runtuhan rumah yang musnah dalam gempa bumi di Afghanistan ketika jumlah kematian yang disahkan mencecah 2,200, manakala mangsa yang terselamat yang hilang tempat tinggal menghadapi masa depan suram dengan agensi bantuan global memberi amaran sumber semakin berkurangan.
Operasi mencari diteruskan di kawasan pergunungan timur yang dilanda gempa, kata pentadbiran Taliban, mengumumkan angka kematian baharu sebanyak 2,205 dengan sekurang-kurangnya 3,640 orang cedera.
“Semua yang kami ada telah musnah,” Aalem Jan dipetik berkata, yang rumahnya di wilayah Kunar teruk terjejas akibat gegaran itu.



