VLADIVOSTOK, 22 Julai – Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud melanda kawasan Teluk Avacha di luar Semenanjung Kamchatka Rusia pada Selasa, ketika wilayah itu terus mengalami gegaran susulan berikutan beberapa siri gempa bumi kuat pada hujung minggu, lapor pihak berkuasa tempatan.
Menurut Kajian Geofizik Akademi Sains Rusia cawangan Kamchatka, gempa itu berlaku pada 1:59 tengah hari waktu tempatan (0159 GMT) pada kedalaman 51.2 km, kira-kira 170 km dari ibu kota wilayah Petropavlovsk-Kamchatsky. Ramai penduduk di bandar itu melaporkan merasakan gegaran itu, kata agensi itu di saluran Telegram rasminya.
Kementerian Situasi Kecemasan Rusia di Kamchatka mengesahkan gegaran susulan itu dirasai dengan keamatan sehingga 4 pada skala tempatan di Petropavlovsk-Kamchatsky dan pekan berdekatan Vilyuchinsk. Tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan kejadian itu.
Ahad menyaksikan siri gempa bumi yang kuat di seluruh Kamchatka, dengan yang paling kuat mencatatkan magnitud 7.6. Video tersebar di media sosial menunjukkan barangan jatuh dari rak kedai dan perabot bergegar kuat di dalam rumah.
Selepas gempa besar kedua pada Ahad, pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami buat sementara waktu untuk kawasan pantai Pasifik, yang ditarik balik beberapa jam kemudian.
XINHUA



