Sekurang-kurangnya 18 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera awal pagi Selasa akibat serangan udara Israel dan tembakan artileri ke pelbagai lokasi dan kawasan kejiranan di Jalur Gaza, lapor WAFA.
Di sekitar Kolej Universiti di barat Khan Younis, dua orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh apabila sebuah khemah menempatkan orang kehilangan tempat tinggal menjadi sasaran.
Kemudian, sumber perubatan di hospital melaporkan empat yang lain terbunuh dan cedera apabila tentera pendudukan Israel membedil sebuah khemah yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal dekat “Fash Fursh” di kawasan Al-Mawasi di barat bandar itu.
Di Deir al-Balah, tengah Jalur Gaza, Hospital Syahid Al-Aqsa dilaporkan berkata, lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat pengeboman yang menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal di kawasan Al-Bassa.
Hospital yang sama juga dipetik berkata lima orang lagi terbunuh akibat daripada pendudukan menyasarkan kumpulan rakyat dekat tapak “Kissufim”, tenggara Deir al-Balah.
Sementara itu, Hospital Al-Shifa, barat Kota Gaza, dilaporkan berkata dua orang terbunuh dan 53 cedera akibat pengeboman tentera pendudukan ke atas orang ramai yang menunggu bantuan makanan di kawasan “Zikim”, barat laut Beit Lahia, di utara Jalur Gaza.
Sebelum tengah malam tadi, empat orang awam, termasuk seorang wartawan, terbunuh dan yang lain cedera dalam tembakan menyasarkan kejiranan Al-Sabra di selatan bandar Gaza dan kawasan lain di Deir al-Balah.



