Empat didakwa di Mahkamah Majistret, di Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dalam percubaan menangkap mereka yang berakhir tragedi 7 Ogos lalu, lapor BH Online.
Bagaimanapun, menurut laporan BH Online, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Mengikut pertuduhan, lapor BH Online, mereka secara bersama didakwa membunuh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.43 petang, 7 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, di Alor Setar.
Berikutan itu, suspek didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara atau maksimum 40 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah dilaporkan menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes bagi sebutan semula di Mahkamah Tinggi.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika sedang menjalankan tugas menahan suspek kes pecah rumah yang cuba melarikan diri dekat Taman Golf, pada 7 Ogos lalu.
Mangsa dilaporkan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.



