SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan pihaknya memberi kebenaran kepada Syarikat eHati International Sdn Bhd bagi meneruskan program motivasi rumah tangga (eHATI seperti didakwa.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pada 15 November 2022, Panel Sesi Penjelasan yang dilantik oleh JAIS mendapatkan penjelasan daripada penganjur program eHati susulan aduan yang diterima daripada peserta program itu.
Katanya, pengadu ketika itu mendakwa terdapat aktiviti yang bersalahan dengan hukum syarak dalam program terbabit.
“Dalam sesi penjelasan yang diadakan, panel diserahkan dengan video digunakan oleh penganjur yang mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita untuk tujuan merapatkan hubungan antara suami isteri.
“Justeru, Panel Sesi Penjelasan memberi pandangan bahawa beberapa aspek dan pendekatan program eHati perlulah dipinda atau dibuang mengikut mana-mana yang bercanggah dengan hukum syarak.
“Pihak syarikat juga hendaklah sentiasa merujuk pihak berautoriti agama atau pakar dalam memastikan pematuhan hukum syarak dalam keseluruhan program eHati,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Mohd Shahzihan berkata, ketika itu penganjur juga diminta meletakkan Disclaimer yang menyatakan bahawa video terbabit (merujuk kepada video yang diarahkan untuk dipinda oleh Panel Sesi Penjelasan) adalah untuk kegunaan suami isteri sahaja.
“Nasihat ini diberikan kepada penganjur sebagai langkah untuk mengekang apa-apa tindakan yang melanggar hukum syarak dalam rakaman video yang digunakan.
“Bagaimanapun, JAIS menafikan bahawa Disclaimer yang disarankan oleh Panel Sesi Penjelasan bermaksud keseluruhan modul atau aktiviti program eHati dibenarkan.
“Hal ini kerana syarikat terbabit tidak pernah merujuk keseluruhan modul program berkaitan kepada pihak JAIS selepas teguran dan syor dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan sehingga ke hari ini (semalam),” katanya.
Beliau berkata, JAIS yakin sekiranya syarikat terbabit mematuhi ketetapan yang dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan pada 2022, sudah pasti insiden yang didakwa berlaku dalam program eHati di IDCC Shah Alam tidak akan terjadi.
“Selaras keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS juga diminta menyemak dan menambah baik Garis Panduan Penganjuran Program Keagamaan dan Kerohanian Islam dengan mengambil kira pelbagai insiden termasuk program eHati.
“Penambahbaikan garis panduan ini dibuat supaya suatu garis panduan yang lebih komprehensif dapat dijadikan rujukan oleh penganjur yang berhasrat mengadakan program yang mengandungi unsur kerohanian dan keagamaan di Selangor,” katanya.
Justeru, katanya, JAIS menggesa masyarakat Islam di Selangor terus memainkan peranan aktif dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang program atau pengisian keagamaan yang meragukan kepada pihak JAIS.
“Maklumat yang tepat daripada masyarakat penting untuk membantu JAIS memelihara prinsip dan pelaksanaan ajaran Islam sebenar mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor,” katanya.
Terdahulu, satu kenyataan media oleh Pengarah Syarikat eHati International Sdn Bhd pada 15 Julai lalu berkaitan program eHati dan dakwaan yang mengaitkan bahawa JAIS memberikan kebenaran untuk meneruskan program terbabit.
BH ONLINE



