Cedera dihempuk TV kerana skandal suami orang, kemaluan nyaris dilumur cili

TAWAU — Seorang penjual kosmetik dalam talian cedera dipukul lima wanita di sebuah pangsapuri, dekat sini selepas didakwa menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Selasa lalu, mangsa diacu gunting pada muka turut dihempuk berkali-kali menggunakan televisyen, selain nyaris dilumur cili pada kemaluannya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, mengesahkan kejadian itu susulan laporan polis dibuat mangsa, 29, yang juga warga Indonesia jam 10.34 pagi semalam.

Beliau berkata, pengadu dalam laporannya mendakwa didatangi lima individu dikenali itu di rumahnya sebelum diserang mereka.

“Dua daripada suspek dikatakan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan tangan dan televisyen, manakala seorang lagi menarik serta menggunting rambut mangsa, selain mengacukan gunting ke arah mukanya.

“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami pendarahan pada mata sebelah kanan, lebam pada bahagian muka, lengan kiri dan kanan, serta di bahagian paha selain mengalami sakit dada dan sesak nafas,” katanya ketika dihubungi.

Jasmin berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca perselisihan faham selepas mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit dengan suami salah seorang daripada lima suspek terbabit.

“Semasa kejadian, salah seorang suspek turut membawa sebungkus cili dan mahu memasukkan bahan itu ke dalam kemaluan mangsa yang turut disaksikan seorang rakan mangsa.

“Rakaman kejadian itu turut dikesan tular di media sosial sejak kelmarin,” katanya.

Susulan kejadian itu, Jasmin berkata, lima suspek terdiri dua wanita tempatan dan tiga warga Indonesia berusia antara 20 hingga 38 tahun ditahan kira-kira jam 2.45 petang hari sama.

Semua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BH ONLINE