Sekurang-kurangnya sembilan orang maut apabila bot penyelamat terbalik semasa usaha bantuan banjir di Pakistan, lapor Reuters memetik pihak berkuasa pada Jumaat.
Insiden itu berlaku di sebuah perkampungan dekat bandar bersejarah Multan di wilayah Punjab pada Khamis, kenyataan dari Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Punjab berkata, menurut Reuters.
Ia berkata bot itu menyelamatkan 24 orang dari kampung dinaiki air ketika ia terbalik, sambil menambah bahawa 15 lagi selamat dikeluarkan dari air.
Pegawai penyelamat dilaporkan berkata, penduduk kampung enggan meninggalkan rumah mereka di beberapa bahagian luar bandar Pakistan, terutama tanpa lembu, kambing dan haiwan lain, salah satu sumber pendapatan utama mereka, yang sering membawa kepada pemindahan paksa.
Kerja menyelamat di wilayah itu “sukar kerana orang ramai tidak memberi kerjasama”, menurut pihak berkuasa.
Banjir yang dicetuskan oleh hujan monsun lebat tahun ini dan sungai yang membengkak telah membunuh 946 orang, termasuk 97 di wilayah itu, di Pakistan sejak akhir Jun, dan menenggelamkan sebahagian besar tanaman.
Wilayah Punjab, yang menempatkan separuh daripada 240 juta penduduk negara itu, dianggap sebagai bakul roti Pakistan.
Pihak berkuasa dilaporkan berkata banjir telah menenggelamkan lebih 4,500 kampung, menjejaskan lebih 4.4 juta penduduk di wilayah itu sejak akhir Ogos.
Sekurang-kurangnya 2.4 juta orang setakat ini telah dipindahkan, menurut mereka dilaporkan Reuters.



