Bot karam di Belawai: 5 lagi mangsa ditemui hari ini

KUCHING – Lima mangsa bot karam di Belawai dalam Bahagian Mukah, Sabtu lalu ditemukan hari ini, sekali gus menjadikan semua 10 mangsa disahkan lemas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, semua lima mangsa itu dikenal pasti lelaki warga Indonesia.

Beliau berkata, mangsa pertama itu dikenali sebagai Asbar dan ditemui oleh penduduk kampung pada jam 6.50 pagi.

“Mangsa kedua pula adalah Rabanai Rabai ditemui pada jam 7.50 pagi, mangsa ketiga adalah Resky Adrian ditemui pada jam 7.55 pagi, manakala mangsa keempat, Muhammad ditemui pada jam 8.10 pagi dan mangsa kelima yang dikenali sebagai Ardy pula ditemui pada jam 8.30 pagi.

“Empat daripada mangsa itu ditemui oleh penduduk kampung dengan tiga daripadanya di Muara Belawai dan seorang di simpang Sungai Pinang, Belawai, manakala mangsa terakhir ditemui oleh anggota Sarawak Coast Guard di Tanjung Manis,” katanya.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki dijumpai pada jam 6 petang kira-kira 300 meter ke hilir dari pusat kawalan operasi bomba (PKOB).

Empat lagi mayat mangsa ditemui terdampar di pantai tidak lama selepas kejadian pada Sabtu lalu, manakala tujuh lagi penumpang bot berkenaan iaitu empat lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki selamat dalam kejadian jam 2 petang itu.

Ketika kejadian itu, bot yang mereka naiki dalam perjalanan dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke jeti Ladang kelapa (Zon Pelita).

Difahamkan, bot berkenaan turut membawa barangan keperluan harian yang mereka beli di Belawai.

JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.11 petang kelmarin dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis diarah ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari balai itu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan Sabtu lalu turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Coast Guard dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

BH ONLINE