Serangan tentera Israel di seluruh Jalur Gaza sejak awal Jumaat membunuh sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin, termasuk 20 orang yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan, menurut sumber perubatan yang bercakap dengan Anadolu.
Anadolu melaporkan, 15 orang terbunuh dan 90 lagi cedera ketika menunggu bantuan makanan dekat bulatan al-Tahlia di timur Khan Younis, selatan Gaza.
Manakala lima orang awam menurutnya, ditembak mati dekat pusat pengedaran bantuan di barat laut Rafah, di selatan Gaza.
Menurut laporan itu pada Jumaat, empat lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berasingan Israel ke atas perhimpunan rakyat di kawasan kejiranan al-Tuffah dan Zeitoun di timur bandar Gaza.
Jelas Anadolu, lapan rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh apabila tentera Israel menyerang khemah penduduk yang berpindah dekat Menara Tiba di al-Mawasi, barat Khan Younis.
Kebanyakan mangsa adalah ahli keluarga sama yang tempat perlindungannya terus terjejas dekat Menara Tiba, kata saksi mata kepada Anadolu.
Laporan itu juga menyebut, dalam satu lagi serangan berdekatan, tiga orang lagi, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh dekat hospital medan Britain.
Menurutnya, serangan udara juga melanda dua khemah di sepanjang pantai Khan Younis, membunuh empat orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Memetik agensi berita Palestin Wafa, Anadolu menyatakan, artileri Israel juga melanda khemah yang menempatkan orang awam kehilangan tempat tinggal di Al-Mawasi, Rafah, di selatan Gaza, menyebabkan lebih banyak korban.
Anadolu melaporkan, di tengah Gaza, empat orang terbunuh di kem pelarian al-Bureij apabila rumah sebuah keluarga menjadi sasaran dalam serbuan semalaman.
Menurutnya, tiga orang lagi terbunuh di selatan bandar Gaza berikutan serangan ke atas rumah keluarga di kawasan kejiranan al-Sabra.
Tentera Israel juga menyerang sebuah sekolah yang melindungi orang kehilangan tempat tinggal, walaupun kematian akibat serangan itu tidak segera disahkan, lapor agensi berita Turki itu.