Berpuluh-puluh penduduk Gaza dilaporkan terbunuh dan cedera pada Jumaat ketika serangan udara Israel terus melanda beberapa kawasan di seluruh Jalur Gaza sejak fajar Jumaat.
Menurut laporan WAFA, lima rakyat Palestin terbunuh dan yang lain cedera apabila tentera Israel mengebom khemah di kawasan Al-Mawasi di barat Khan Younis.
Sembilan lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas sebuah rumah dimusnahkan di kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar Gaza.
Di kawasan Sudaniya di barat laut bandar Gaza, empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera apabila tentera Israel menyasarkan sebuah khemah melindungi keluarga kehilangan tempat tinggal.
Dalam pada itu menurut WAFA, empat rakyat Palestin ditembak mati oleh tentera pendudukan Israel ketika mencari bantuan dekat pusat pengedaran bantuan GHF kendalian Amerika Syarikat (AS) di utara kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza.
Dua lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara di sebuah rumah di kem pelarian Al-Bureij di tengah Gaza.
Sementara itu, di Deir al-Balah, seorang lelaki Palestin dan isterinya dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera apabila rumah mereka di Jalan Al-Salam dihentam, manakala tiga lagi terbunuh apabila serangan dron Israel menyasarkan orang awam di Jalan Abu Husni di bandar itu.



