Ibu kepada remaja Britain yang hilang sejak Jun lalu memaklumkan dia dan anak lelakinya akan pulang ke negara mereka secepat mungkin, lapor BH Online.
Bagaimanapun dia dikatakan tidak dapat mengulas terperinci tempoh sebenar kepulangannya sehingga mendapat pengesahan lanjut dari pihak kedutaan di negara ini.
Minerva Balisong, 50, dilaporkan berkata dia dan anaknya, David Balisong, 17, telah berhubung dengan wakil kedutaan mereka bagi urusan pulang ke negara mereka.
Dia memohon ruang bagi menyelesaikan semua perkara terlebih dahulu dan enggan mengulas lanjut mengenai penemuan anak lelakinya.
“Sejak anak lelaki saya ditemukan semalam, saya belum lagi berehat. Beri kami masa, kerana ada perkara perlu diselesaikan.
“Kami juga akan pulang ke negara asal kami semula secepat mungkin,” dia dipetik berkata ketika dihubungi BH, di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut BH Online, malam tadi, Minerva memaklumkan anaknya ditemukan dalam keadaan baik, namun berat badannya merosot dan kelihatan sangat kurus.
Keadaan itu selepas anak lelakinya kehilangan berat badan kerana dikatakan hanya makan makanan segera.
Dalam pada itu, menurut BH Online, hasil siasatan polis mendapati remaja lelaki warga Britain itu meninggalkan rumah sebelum datang ke Malaysia pada awal Jun lalu kerana berselisih faham dengan keluarganya.
Remaja terbabit, David Balisong, 17, dilaporkan hilang sejak 7 Jun sebelum ditemukan selamat di sebuah hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Pudu, di sini, hasil maklumat orang awam semalam.



