Sekurang-kurangnya 18 rakyat Palestin, termasuk tujuh kanak-kanak, terbunuh malam tadi dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah dan khemah melindungi orang kehilangan tempat tinggal di bandar Gaza, menurut laporan WAFA memetik sumber perubatan.
Dalam satu daripada serangan itu, tiga orang awam dilaporkan terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila pesawat perang Israel mengebom sebuah apartmen di Jalan Souq al-Yarmouk di kawasan kejiranan al-Daraj.
Tiga lagi rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas jet pejuang Israel menyerang khemah yang melindungi keluarga pelarian di dalam Universiti Islam di kawasan kejiranan al-Rimal al-Janoubi, barat bandar Gaza.
Di Tel al-Hawa, barat daya bandar itu, tiga orang dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera apabila sebuah apartmen kediaman dihentam.
Dua rakyat Palestin turut terbunuh dan yang lain cedera apabila dron Israel menyasarkan khemah perpindahan dekat Masjid al-Nour di kawasan kejiranan al-Rimal.
Di daerah al-Sabra, dua lagi terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan udara di sebuah apartmen di bangunan Skeek di Jalan al-Thalathini, selatan bandar Gaza.
Rakyat lain turut dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila dron menyasarkan sebuah khemah menempatkan orang ramai yang kehilangan tempat tinggal di persimpangan Universiti Al-Azhar di barat bandar Gaza.
Seorang lagi dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera apabila pesawat perang Israel mengebom sebuah apartmen di kawasan kejiranan al-Rimal.



