Tentera pendudukan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai baru petang Rabu di bandar Gaza, membunuh dan mencederakan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut laporan WAFA.
Wartawan WAFA berkata, tentera Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat Hospital al-Shifa di barat bandar Gaza ketika mereka melarikan diri ke selatan.
Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang awam terbunuh dan yang lain cedera, kebanyakannya dalam keadaan kritikal.
Menurut laporan WAFA, rakaman video menunjukkan banyak mayat bergelimpangan di atas tanah, koyak dan hangus, ketika penduduk cuba membawa mereka ke hospital dalam keadaan terkejut dan panik.
Dilaporkan, dalam serangan berasingan, dua orang awam terbunuh dan lapan lagi cedera dalam tembakan Israel yang melanda sebuah apartmen dekat Hospital al-Quds di kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar itu.
Menurut WAFA, sumber perubatan di hospital lapangan al-Saraya melaporkan tiga mayat dan 11 cedera tiba selepas tentera menyasarkan kawasan Jalan al-Sahaba di Gaza.
Dalam pada itu, WAFA melaporkan, sumber hospital di Gaza berkata, jumlah kematian keseluruhan sejak fajar Rabu meningkat kepada 74 orang awam ketika pembunuhan beramai-ramai Israel berterusan.



