Penggunaan telefon bimbit dan peranti elektronik lain di sekolah rendah dan menengah Belgium akan dilarang di seluruh negara bermula pada tahun akademik 2025-2026, kecuali untuk tujuan pendidikan, sebab kesihatan atau kecemasan, lapor Anadolu memetik media tempatan pada Isnin.
Walaupun tiga komuniti bahasa di negara itu telah menerima pakai peraturan yang berbeza, larangan itu akan dikenakan di semua wilayah, dengan sekolah sendiri memutuskan langkah disiplin, lapor berita VRT.
Dalam komuniti berbahasa Perancis, meliputi Wallonia dan ibu kota Brussels, penggunaan telefon bimbit di sekolah rendah telah pun dilarang sepenuhnya dari tahun akademik sebelumnya, manakala sekolah menengah memperkenalkan pengehadan ketat untuk tidak menggalakkan penggunaan.
Dengan peraturan baharu itu, pada 2025-2026, penggunaan telefon dan peranti elektronik lain untuk tujuan rekreasi akan dilarang di prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Di rantau berbahasa Jerman, mulai 2025-2026, telefon bimbit, jam tangan pintar dan peranti bersambung lain akan dilarang bukan sahaja semasa kelas tetapi juga semasa rehat. Sekolah akan menentukan perincian pelaksanaan dan peraturan disiplin.
Dalam komuniti berbahasa Flemish, larangan menggunakan telefon bimbit telah pun dilaksanakan untuk prasekolah dan sekolah rendah. Di bawah langkah baharu itu, sekatan itu juga akan meliputi sekolah menengah, yang diperkenalkan secara beransur-ansur.
Untuk dua gred pertama sekolah menengah, telefon dan jam tangan pintar akan diharamkan sepenuhnya, manakala dalam gred ketiga, larangan itu hanya akan digunakan semasa pelajaran.
Di Belgium, tahun akademik bermula pada 25 Ogos di sekolah berbahasa Perancis, dan pada 1 September di seluruh negara.



