Bekas pelumba basikal lebuh raya negara, Nor Effandy Rosli didakwa di Mahkamah Sesyen di Ampang, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah stor simpanan, tahun lalu, lapor BH Online.
Jurulatih berbasikal, Nor Effandy, 58, bagaimanapun dilaporkan mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
“Faham, saya tidak mengaku bersalah,” katanya yang datang ditemani isteri, dipetik berkata.
Memetik BH Online, mengikut pertuduhan, bapa empat anak itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih berbasikal telah melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap seorang remaja 15 tahun 9 bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di stor simpanan basikal di medan selera di Taman Desa Keramat, dekat sini pada jam 6 petang, sekitar Jun tahun lalu.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie dilaporkan, memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berikutan kesalahan itu membabitkan kanak-kanak bawah umur.
“Pendakwaan juga memohon syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan,” katanya dipetik.
Bagaimanapun, peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Nor Effandy dilaporkan memohon jaminan RM5,000 berikutan anak guam bekerja sebagai pembantu penguat kuasa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pendapatan RM5,000 sebulan.
“Tertuduh masih menanggung empat anak manakala isteri tidak bekerja.
“Tertuduh bukanlah seorang yang berisiko melarikan diri berikutan selepas siasatan dilakukan dia dilepas dengan jaminan polis dan ketika pegawai penyiasat meminta dia hadir ke mahkamah, tertuduh hadir hari ini,” katanya dipetik.
Menurut BH Online, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norshila membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
“Tertuduh juga dilarang mengganggu atau menghubungi mangsa yang boleh menjejaskan perjalanan kes,” katanya yang kemudian menetapkan 1 Ogos untuk serahan dokumen, menurut laporan itu.
Nor Effandy, menurut laporan BH Online, pernah mewakili negara dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) selama 10 tahun berturut-turut dari 1996 hingga 2005 dan pemegang pingat perak Sukan Komanwel 1998 acara 184 kilometer (km).