Angka kematian akibat banjir minggu ini di pulau Bali, Indonesia dilaporkan meningkat kepada 14 orang, walaupun hujan telah berhenti dan paras air semakin surut di kebanyakan kawasan.
Dua orang hilang di ibu kota hab pelancongan Denpasar dan 125 penyelamat dikerahkan dalam mencari mereka, kata jurucakap agensi mitigasi bencana Abdul Muhari, dilaporkan Reuters.
Dia menambah, lebih 500 orang telah dipindahkan ke sekolah dan masjid.
Hujan lebat pada Selasa dan Rabu menyebabkan banjir di Denpasar dan enam daripada lapan wilayah Bali, menghalang jalan utama, termasuk akses ke lapangan terbang antarabangsa pulau itu.
Terdapat juga tanah runtuh di beberapa kawasan, menurut laporan Reuters.
Kebanyakan kematian berlaku apabila orang ramai dihanyutkan selepas sungai pecah tebing, kata Abdul.
Tiada warga asing antara yang terkorban, kata agensi itu. Tiada laporan pembatalan penerbangan pada Khamis.
Pasukan penyelamat masih mengepam air keluar dari beberapa bangunan yang dinaiki air dan kira-kira 500 anggota tentera telah dikerahkan untuk membersihkan jalan daripada lumpur, serpihan dan batu.
“Kemuncak hujan telah berlalu dan secara amnya air telah surut. Kini, kami memberi tumpuan untuk membersihkan lumpur dari jalan raya,” kata Abdul.
Hujan lebat juga menyebabkan banjir di Nusa Tenggara Timur Indonesia di mana empat orang terbunuh, menurut Reuters.



