Jumlah kematian akibat tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 34 orang pada Isnin ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk berpuluh-puluh orang yang dilaporkan hilang di Jawa Barat, menurut berita Anadolu memetik media tempatan.
Anggota mencari dan menyelamat telah menemui sejumlah 34 mayat dari tempat kejadian, Anadolu memetik penyiar Kompas TV.
Ade Dian Permana, ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Bandung, dilapor berkata sembilan lagi mayat telah ditemui pada Isnin, menjadikan jumlah mangsa kepada 34 orang.
Setakat ini, 17 orang telah dikenal pasti dan dikembalikan kepada keluarga mereka, sementara pasukan forensik sedang meneruskan usaha untuk mengenal pasti mayat yang tinggal, dengan kira-kira 56 orang dipercayai masih hilang.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Staf Tentera Laut Indonesia Muhammad Ali berkata 23 askar tertimbus akibat tanah runtuh semasa latihan di kawasan itu. Empat orang telah disahkan meninggal dunia, manakala 19 masih hilang, Anadolu memetik laporan Jakarta Globe.
Tanah runtuh itu melanda sebuah kampung di daerah Bandung Barat pada Sabtu, dengan berpuluh-puluh rumah tertimbus di bawah lumpur dan serpihan.























