Angka kematian akibat banjir meningkat kepada 49 di tengah Texas, 27 kanak-kanak masih hilang

HOUSTON, 5 Julai – Banjir teruk merentasi tengah Texas mengorbankan sekurang-kurangnya 49 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh orang hilang, kata pihak berkuasa tempatan pada hujung minggu, ketika operasi menyelamat diteruskan di beberapa daerah.

Di Kerr County, sekurang-kurangnya 43 orang, membabitkan 28 dewasa dan 15 kanak-kanak, disahkan maut selepas hujan lebat mencetuskan banjir kilat awal pagi Jumaat, kata syerif daerah itu Larry Leitha pada sidang akhbar.

27 lagi kanak-kanak masih belum ditemui, kebanyakan mereka dari Camp Mystic, kem musim panas Kristian untuk kanak-kanak perempuan di sepanjang Sungai Guadalupe, kata Dalton Rice, pengurus bandar Kerrville. Kem ini lazimnya menempatkan kira-kira 750 kanak-kanak setiap tahun.

“Kami telah menyelamatkan orang keluar dari kem ini beratus-ratus sepanjang hari,” kata Rice.

Di Travis County, empat orang disahkan maut dan 13 yang lain dilaporkan hilang, lapor penyiar tempatan KXAN-TV, memetik hakim daerah, Andy Brown.

Di Burnet County, usaha menyelamat sedang dijalankan setakat petang Sabtu. Pejabat syerif mengesahkan dua maut dan berkata dua lagi masih hilang.

XINHUA