Seorang anggota polis maut dirempuh penjenayah ketika menjalankan tugas dekat Taman Golf di Alor Setar, petang tadi selepas cuba halang suspek kes pecah rumah melarikan diri, lapor BH Online.
Menurutnya, mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Adzli Abu Shah dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat orang awam mengenai aktiviti mencurigakan di rumah terbabit.
“Lima anggota dari JSJ Kedah digerakkan ke lokasi dengan dua kenderaan dan sebaik tiba di situ, mereka mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari rumah berkenaan.
“Salah seorang suspek yang memandu Lexus bertindak melanggar mangsa yang baru keluar dari kenderaan.
“Mangsa dirempuh dan meninggal dunia di tempat kejadian,” dia dipetik berkata pada sidang media di lokasi hari ini.
Adzli dilaporkan berkata, seorang daripada suspek berjaya ditahan di tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama, yang mengalami kerosakan akibat pelanggaran itu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka, menurutnya seperti dilaporkan, diberkas kurang sejam kemudian di kawasan Kepala Batas, Jitra.
“Dalam cubaan melarikan diri itu, kumpulan terbabit turut mencuri sebuah lagi kenderaan orang awam,” dia dipetik berkata.
Semua suspek, dilaporkan berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor.



