Akulah raja, kamu siapa?

Tentera Israel beroperasi di lokasi yang diberikan sebagai Syria Selatan, dalam tangkapan skrin ini daripada video yang diperoleh Reuters pada 9 Disember 2024.

Pergolakan di Timur Tengah — sumber utama berita dunia. Tidak habis Palestin, melarat ke Lubnan, terpercik ke Iran dan melanda Syria, bumi yang kaya sejarah, disebut-sebut orang.

Namun, kita tertanya-tanya, apakah pergolakan itu terjadi dengan sendirinya atau ada pelakunya?

Sukar menjawabnya kan! Tetapi cuba kita usulkan, atau cerakinkan, adakah sesuatu yang terjadi itu disebabkan fenomena alam semulajadi semata-mata, atau campur tangan manusia?

Mungkin pada asasnya sebab fenomena alam seperti hujan dan banjir, kemarau, tetapi banjir boleh kelihatan besar, lambat surut disebabkan campur tangan manusia, seperti menutup parit, dengan menimbusnya untuk membina rumah, saliran longkang tidak diselenggara malah terbiar dengan sampah, maka sudah tentu apabila berlaku banjir, airnya merata ke tempat tidak pernah dilanda sebelumnya. Begitulah juga dengan fenomena alam yang lain.

Kembali ke topik Timur Tengah, apakah fenomena alam yang menjadi faktornya…agak sukar untuk difikirkan.

Sebaliknya, yang kita nampak, yang terang lagi bersuluh adalah gelagat manusia itu sendiri.
Masing-masing tidak mahu mengalah, masing-masing mahu tunjuk hebat, mahu tunjuk lagak, seperti kata orang…ya akulah raja…kamu siapa?

Ketika Israel berasa dialah raja, maka kamu…Hizbullah, kamu.. Iran, kamu..Syria, kamu…Gaza, kamu…di Tebing Barat, kamu siapa…siapa kamu…?

Melawan, maka diterjah dengan bedilan, bukan acah-acah, tapi realiti, bukan dengan pistol, tapi dengan kereta kebal, pesawat perang lontar dari atas, bertalu-talu peluru berpandu, bom, hancur lebur semua di bawah….ulang lagi pada keesokannya dan begitulah seterusnya, sehingga bila…masa menentukan.