Satu cara meredakan tekanan anda adalah dengan berhubung ataupun bercakap dengan orang lain. Anda berkongsi pengalaman dan harapan, mendapatkan nasihat, memberi teguran atau setidak-tidaknya ruang meluahkan isi hati.
Namun, ia tidak bermakna anda perlu membelakangi adab sopan dengan menghamburkan kata kesat untuk merendah-rendahkan orang kerana ia menzahirkan perangai buruk diri anda.
Mungkin sewaktu anda berkata demikian, anda berasa lega kerana dapat melepaskan segala-galanya. Namun, ia hanya bersifat sementara. Selepas itu, anda dihantui rasa kesal dan bersalah.
Tambahan pula apabila anda bercakap atau berperilaku biadab di tempat terbuka, dirakam dan disebarkan kepada khalayak ataupun mencetuskannya di media sosial yang diikuti banyak pihak, sudah tentu mengundang reaksi dan implikasi lebih besar.
Anda mungkin menyangka percakapan dan tindakan di luar batas adab itu satu keberanian yang dapat menggerunkan orang, padahal ia membuatkan orang makin menjauh dan menambahkan lagi masalah.
Islam mengajar bersopan santun
Satu daripada ajaran Islam bersopan santun. Islam tidak pernah mengajar umatnya bersikap biadab, sama ada dalam bentuk kata atau perbuatan lain, kerana ia tidak membawa kebaikan.
Ramai sahabat Nabi SAW termasuk Saidina Umar al-Khattab, Abu Hurairah dan Abu Darda’ meriwayatkan, tiada yang lebih berat dalam neraca Allah bagi orang beriman dengan hari akhirat daripada sifat sopan santun kerana Allah tidak suka orang kasar dan biadab.
Sabda Rasulullah SAW, dipetik dalam Ensiklopedia Sirah, mafhumnya: “Sesiapa antara kamu yang kasih kepadaku yang akan hampir kepadaku pada hari pembalasan ialah orang yang mempunyai akhlak baik dan bersopan santun.
“Sesiapa antara kamu yang aku tidak suka, dijauhkan daripadaku pada hari pembalasan adalah mereka yang bersifat kasar dan biadab terhadap orang lain.”
Contohi kesopanan Nabi SAW
Nabi Muhammad SAW seorang yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Baginda memberikan contoh sempurna mengenai aspek ini sebagai panduan bagi orang berperangai kasar serta kurang pendidikan.
Layanan baginda kepada orang ramai sama ada lelaki mahupun wanita, kaya atau miskin, kanak-kanak ataupun dewasa sama saja. Baginda bercakap dengan semua orang secara beradab dan bersopan santun.
Isteri baginda, Aisyah dan ramai sahabat Baginda termasuk Anas dan Ali RA mengatakan bahawa baginda seorang yang penyabar, berbudi bahasa dan sangat sopan terhadap sesiapa saja.
Baginda sentiasa gembira dan tersenyum. Muka baginda sentiasa cerah dan berseri-seri. Abu Ishaq meriwayatkan bahawa al-Barra ditanya, adakah muka Nabi Muhammad SAW berkilau seperti pedang? Beliau menjawab: “Tidak, tetapi terang seperti bulan.”
Abdullah bin Amru mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah menggunakan bahasa tidak sopan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.
Memang menjadi amalan bagi Rasulullah menegur dan mengucapkan salam terlebih dulu apabila bertemu seseorang. Apabila berjabat tangan dengan seseorang, baginda tidak menarik tangan baginda sebelum orang itu menarik tangannya terlebih dulu.
Demikian juga, apabila berada dalam majlis bersama-sama sahabat, baginda duduk tanpa meninggalkan sebarang ruang (jarak) di antara baginda dan mereka.
Benarlah firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” (Surah al-Qalam, ayat 4)
Kelebihan bersopan santun
Rasulullah SAW pernah ditanya: “Apakah amalan yang boleh membawa seseorang ke syurga?” Baginda menjawab: “Bertakwa kepada Allah dan bersopan santun (berperangai baik).” (Ensiklopedia Sirah)
Aisyah RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; sesungguhnya seorang Mukmin dengan akhlak baiknya dapat menyamai darjat orang yang selalu berpuasa dan mengerjakan solat malam.” (Riwayat Abu Daud)
Jabir bin Abdullah mendengar Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesiapa dihalangi daripada sifat lemah lembut, maka dia dihalangi daripada seluruh kebaikan.” (Riwayat Muslim)
Dikatakan juga, orang bersopan santun dan kuat beribadat mencapai sesuatu dihajatinya dengan cepat disebabkan perangainya baik.
Justeru sekiranya anda mahu didekati dan dikasihi, diberikan kebaikan dan segera dikabulkan keinginan, jagalah adab sopan. Mudah-mudahan dengan peribadi terpuji, anda juga sentiasa diberkati.