Sehingga 450 “warga asing menyalahi undang-undang” di fasiliti Hyundai Motor yang sedang dalam pembinaan di Georgia ditahan dalam serbuan besar oleh penguatkuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS) dan pihak berkuasa imigresen, kata Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Letupan (ATF) pada Jumaat, menurut laporan Reuters.
Tapak itu ialah kemudahan pengeluaran bateri usaha sama pembuat bateri Korea Selatan LG Energy Solution (LGES) dan Hyundai Motor yang dijangka mula beroperasi pada akhir tahun ini, menurut LGES, dilaporkan agensi berita itu.
Seorang ejen di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS dilaporkan berkata beberapa agensi AS “menjalankan operasi penguatkuasaan yang dibenarkan secara kehakiman, kerana kami sedang giat menjalankan penyiasatan terhadap amalan pekerjaan yang menyalahi undang-undang.”
“Tangkapan sedang dibuat,” Steven Schrank, ejen khas yang bertanggungjawab bagi Penyiasatan Keselamatan Dalam Negeri untuk Georgia, dilaporkan berkata dalam taklimat berita disiarkan di televisyen tempatan AS.
Menurut Reuters, laporan berita Korea berkata kira-kira 30 warga Korea Selatan telah ditahan di tapak itu dalam serbuan oleh pihak berkuasa AS.
Hyundai Motor dilaporkan berkata, pengeluaran kenderaan elektriknya di tapak yang luas itu tidak terjejas.
Seorang jurucakap di syarikat bateri Hyundai-GA dilaporkan berkata dalam satu kenyataan, ia “bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan berhubung aktiviti di tapak pembinaan kami” dan ia telah menghentikan kerja pembinaan untuk membantu.



