Sekumpulan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa FIFA dan UEFA menggantung pasukan bola sepak kebangsaan Israel daripada pertandingan antarabangsa, menyifatkan langkah itu sebagai “tindak balas yang diperlukan” terhadap genosid berterusan di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan bersama, lapan pakar bebas PBB, termasuk Alexandra Xanthaki, pelapor khas dalam bidang hak budaya, dan Francesca Albanese, pelapor khas mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, memetik penemuan dalam laporan dikeluarkan pada 16 September oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB ke atas Wilayah Palestin Diduduki termasuk Jerusalem Timur dan Israel.
Dalam laporan itu, suruhanjaya itu membuat kesimpulan bahawa Israel telah melakukan tindakan genosid terhadap rakyat Palestin di Jalur Gaza, dan menggesa negara itu untuk segera menghentikan kekejamannya di kawasan Palestin itu.
“Badan sukan tidak boleh menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius, terutama apabila platform mereka digunakan untuk menormalkan ketidakadilan,” kata pakar terbabit.
Mereka menegaskan bahawa, seperti dalam kes sebelum ini, pasukan kebangsaan yang mewakili negara yang dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia secara besar-besaran boleh dan harus digantung. FIFA dan UEFA, tambah mereka, terikat dengan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa.
Pakar-pakar itu menggariskan bahawa sebarang boikot sukan harus menyasarkan Negara Israel, bukan atlet secara individu.
“Sepatutnya tiada diskriminasi atau sekatan terhadap pemain secara individu kerana asal usul atau kewarganegaraan mereka,” kata mereka.



