Sekurang-kurangnya 10 orang awam dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera awal pagi Isnin selepas tentera pendudukan Israel mengebom kawasan besar di bandar Gaza.
Menurut Agensi Berita & Info Palestin (WAFA), sumber perubatan di Hospital Al-Shifa melaporkan dua orang terbunuh dan yang lain cedera selepas pesawat Israel menyasarkan sebuah bangunan pangsapuri dekat Masjid Al-Kanz di kejiranan Al-Rimal, barat bandar Gaza.
Empat lagi, termasuk seorang kanak-kanak, turut terbunuh dan dua lagi cedera selepas serangan udara menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan orang ramai kehilangan tempat tinggal dekat kawasan Al-Shalihat di pantai bandar Gaza.
Seorang lagi dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas pesawat Israel menyasarkan sebuah rumah di Jalan Al-Yarmouk di bandar Gaza.
Tiga orang awam turut terbunuh dan yang lain cedera selepas serangan udara Israel melanda Persimpangan Tamous di kawasan kejiranan Al-Nasr, barat bandar Gaza.
Tanpa memberikan angka tertentu, WAFA turut melaporkan sebilangan orang awam terbunuh, selain beberapa orang hilang, dan yang lain cedera apabila pesawat Israel menyasarkan rumah keluarga Balousha dan al-Nimr di Jalan Ahmed Yassin di kawasan kejiranan Sheikh Radwan.



