Serangan udara Israel ke atas beberapa kawasan di Gaza sejak awal pagi Ahad menyebabkan orang awam terbunuh dan cedera, termasuk kanak-kanak, dengan bandar Gaza khususnya mengalami satu lagi gelombang pengeboman berat menyasarkan bangunan kediaman, lapor WAFA.
Menurut sumber perubatan dipetik oleh koresponden WAFA, dua kanak-kanak terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila serangan udara Israel melanda khemah melindungi keluarga pelarian di kawasan kejiranan Al-Rimal, barat bandar Gaza.
Dalam kejadian lain, empat orang awam dilaporkan kehilangan nyawa dan yang lain cedera berikutan serangan ke atas sebuah apartmen di bangunan Al-Ghazali di Sheikh Radwan, kejiranan yang terletak di barat laut bandar Gaza.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas pesawat perang Israel menyasarkan Sekolah Al-Farabi, yang digunakan sebagai tempat perlindungan bagi keluarga kehilangan tempat tinggal dekat Stadium Yarmouk di tengah bandar Gaza.



