Serangan Israel ke atas bandar Gaza dan tengah jalur itu terutama ke atas menara dan bangunan kediaman pada petang Ahad dilaporkan membunuh dan mencederakan ramai orang awam.
Agensi Berita & Info Palestin (WAFA) melaporkan, beberapa orang awam terbunuh dan yang lain cedera pada petang Ahad dalam tembakan Israel yang menyasarkan bandar Gaza dan tengah Gaza.
Wartawan WAFA melaporkan pembunuhan seorang wanita dan kecederaan kepada orang lain selepas tentera Israel menyerang tingkat atas sebuah menara kediaman dekat Persimpangan Saraya.
Sementara itu, dua orang awam dilaporkan terbunuh dan yang lain cedera akibat tembakan meriam Israel ke atas sebuah apartmen kediaman dekat menara kediaman di kejiranan Al-Rimal, barat bandar Gaza.
Empat orang dilaporkan turut terbunuh dan yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas perhimpunan orang awam di tengah Deir Al-Balah. Selain itu, seorang wanita dilaporkan terbunuh dalam tembakan artileri Israel yang menyasarkan kawasan Al-Masdar di selatan kem pelarian Al-Maghazi di tengah Gaza.
WAFA turut melaporkan, lapan orang awam Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada petang Ahad dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah apartmen kediaman di Menara Al-Quds, timur bandar Gaza.
Dalam pada itu, WAFA memetik sumber perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 88 rakyat Palestin terbunuh dan 421 lagi cedera di Jalur Gaza dalam 24 jam lalu akibat genosid Israel yang berterusan di rantau itu.
Angka itu menyumbang peningkatan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 kepada 63,459 kematian, dengan 160,256 orang mengalami kecederaan. Majoriti mangsa dilaporkan wanita dan kanak-kanak.




