Lima orang awam pada Jumaat mati kelaparan akibat kebuluran buatan Israel di Jalur Gaza, lapor WAFA memetik sumber perubatan.
Menurut mereka, lima orang awam, termasuk dua kanak-kanak, meninggal dunia akibat kebuluran dalam tempoh 24 jam lalu kerana strategi kebuluran disengajakan oleh Israel yang telah mendorong jalur itu ke arah kebuluran, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa kekurangan zat makanan dan kebuluran kepada 322, termasuk 121 kanak-kanak.
Menurut mereka, sejak kebuluran diisytiharkan secara rasmi di Gaza oleh Klasifikasi Fasa Makanan Bersepadu (IPC) pada 22 Ogos, 44 orang awam, termasuk enam kanak-kanak, meninggal dunia akibat kebuluran.
IPC dilaporkan mengeluarkan laporan pada pagi Jumaat, 22 Ogos, mendedahkan bahawa kebuluran sedang berlaku di bandar Gaza dan pekan sekitarnya – menggunakan klasifikasi itu untuk kawasan yang menempatkan 514,000 orang Palestin kehilangan tempat tinggal – hampir suku daripada penduduk Gaza.
“Selepas 22 bulan konflik tanpa henti, lebih setengah juta orang di Jalur Gaza menghadapi keadaan bencana, dicirikan oleh kebuluran, kemelaratan dan kematian,” IPC dipetik sebagai berkata.
“Sebanyak 1.07 juta orang lagi (54 peratus) berada dalam Kecemasan (IPC Fasa 4), dan 396,000 orang (20 peratus) berada dalam Krisis (IPC Fasa 3).”
Kebuluran dikatakan akan meluas ke kawasan Deir al-Balah, di tengah Gaza, dan Khan Younis di selatan menjelang akhir September berdasarkan unjuran semasa.
Hal itu dijangka menjadikan jumlah orang yang mengalami kebuluran di Gaza kepada 641,000 orang.




