Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Selasa mengulangi tentangannya terhadap sebarang bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman negara berdaulat, merujuk kepada ketegangan baru-baru ini antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela, lapor Xinhua pada Rabu.
“Kami tidak akan sekali-kali memihak kepada campur tangan kerajaan asing di negara yang berdaulat,” presiden itu dilaporkan berkata pada sidang akhbar hariannya, ketika ketegangan di Laut Caribbean semakin memuncak selepas AS mengerahkan kapal perang dekat pantai Venezuela, yang Washington gambarkan sebagai sebahagian daripada strateginya untuk memerangi kartel dadah antarabangsa.
Sheinbaum menegaskan Mexico akan mengekalkan dasar luar negara berdasarkan penghormatan terhadap kedaulatan, penentuan nasib sendiri rakyat dan penyelesaian konflik secara aman, selaras dengan prinsip perlembagaan yang membimbing diplomasi Mexico.
“Dasar luar Mexico dengan jelas menyatakan ‘tidak’ kepada campur tangan dan ‘ya’ untuk mempertahankan penentuan nasib sendiri rakyat. Itu akan sentiasa menjadi pendirian kami,” katanya.



