Ketua agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa dilaporkan menyelar dasar kerajaan Israel yang menafikan kebuluran di Gaza sebagai “memalukan”.
Bercakap kepada akhbar pada seminar yang diadakan di Santander, utara Sepanyol, Philippe Lazzarini dilaporkan berkata: “Terdapat kebuluran sekarang di Gaza. Ini adalah kebuluran buatan manusia yang didorong oleh kehendak politik dan ketenteraan.”
Lazzarini, menurut laporan Anadolu, berkata, Gaza sedang menghadapi situasi yang telah “mencapai titik terendah” dari segi kemanusiaan, sambil menambah bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mematuhi amaran tentang kebuluran adalah “memalukan”.
“Gaza hari ini seperti neraka. Orang ramai bukan sahaja mati di bawah pengeboman, mereka mati kelaparan, dan walaupun mereka keluar untuk mencari makanan, mereka dibunuh. Mereka yang boleh membalikkan keadaan di Gaza tidak melakukan apa-apa – tiada langkah, tiada kutukan.
“Hari ini kita menyaksikan impuniti (bebas daripada dikenakan tindakan) sepenuhnya untuk Israel. Tiada kos ekonomi, politik atau diplomatik bagi mereka yang melakukan pelanggaran ini,” dia dipetik sebagai berkata.
Menyeru gencatan senjata segera dan akses tanpa had untuk bantuan kemanusiaan di Gaza, Lazzarini dilaporkan berkata, bantuan bersamaan dengan 6,000 trak UNRWA, cukup untuk menampung keperluan makanan penduduk Palestin selama dua bulan, sedang ditahan di luar Jalur Gaza.
“Dasar kerajaan Israel untuk menafikan kebuluran di Gaza adalah memalukan,” dia dipetik berkata.
Dia juga dilaporkan mengimbau bahawa jumlah pekerja kemanusiaan yang terkorban di Gaza adalah sangat tinggi, dengan lebih 360 kakitangan UNRWA telah kehilangan nyawa.
Lazzarini menurut Anadolu, mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara tentera Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, yang menyebabkan orang awam wartawan terkorban.
Dia dilaporkan menyeru sokongan kepada wartawan Palestin, menegaskan bahawa mereka kekal sebagai satu-satunya saksi kepada apa yang berlaku di Gaza, kerana Israel enggan membenarkan wartawan antarabangsa masuk ke kawasan itu untuk mengesahkan keadaan di lapangan.




