Wartawan Tanpa Sempadan kutuk pembunuhan wartawan oleh Israel di Gaza

Wartawan Tanpa Sempadan kutuk pembunuhan wartawan oleh Israel di Gaza

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel yang mengorbankan lima wartawan di Gaza pada Isnin, menggesa Majlis Keselamatan PBB bertindak segera untuk menghentikan pembunuhan ini, lapor Anadolu.

Organisasi akhbar antarabangsa itu menyatakan lima wartawan Palestin “sengaja disasarkan” oleh tentera Israel semasa serangan ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Jalur Gaza.

“RSF sekali lagi menggesa Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB tergempar untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai wartawan ini,” kumpulan itu dipetik sebagai berkata, sambil menambah bahawa lebih 200 wartawan telah dibunuh oleh tentera Israel sejak Oktober 2023, termasuk sekurang-kurangnya 56 orang kerana tugas mereka.

Ketua Pengarah RSF, Thibaut Bruttin dilaporkan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru itu, menekankan bahawa Israel sengaja menyasarkan wartawan yang membuat liputan konflik itu.

“Sejauh mana angkatan tentera Israel akan pergi dalam usaha beransur-ansur mereka untuk menghapuskan maklumat yang datang dari Gaza? Berapa lama mereka akan terus menentang undang-undang kemanusiaan antarabangsa?,” Bruttin dipetik berkata dalam satu kenyataan.

“Perlindungan wartawan dijamin oleh undang-undang antarabangsa, namun lebih 200 daripada mereka telah dibunuh oleh tentera Israel di Gaza sejak dua tahun lalu.”

Organisasi itu menegaskan bahawa pembunuhan berlaku sedekad selepas Majlis Keselamatan PBB menerima pakai Resolusi 2222, yang secara khusus menangani perlindungan wartawan dalam konflik bersenjata.

“Sepuluh tahun selepas Majlis Keselamatan PBB menerima pakai Resolusi 2222, yang melindungi wartawan semasa konflik, tentera Israel mengingkari penggunaannya,” kata Bruttin.

“RSF menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan resolusi ini akhirnya dihormati, dan langkah konkrit diambil untuk menamatkan impuniti (bebas daripada dikenakan tindakan undang-undang) bagi jenayah terhadap wartawan, melindungi wartawan Palestin, dan membuka akses ke Jalur Gaza kepada semua wartawan.”

Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan 20 rakyat Palestin, termasuk pesakit, pekerja kesihatan, kakitangan pertahanan awam, dan kru akhbar, terbunuh, manakala beberapa lagi cedera dalam serangan itu.

Kementerian itu dilaporkan berkata tentera Israel menghentam tingkat empat salah satu bangunan kompleks itu dengan dua serangan udara, dengan menyatakan bahawa serangan kedua berlaku ketika pasukan penyelamat tiba untuk memindahkan mangsa yang cedera dan mendapatkan mangsa yang terkorban.

Menurut Anadolu, TV rasmi Palestin melaporkan antara yang mati ialah jurukameranya Hussam al-Masri, manakala saluran Qatar Al Jazeera mengesahkan jurugambarnya Mohammad Salama turut terbunuh.

Sumber perubatan yang dipetik oleh Anadolu mengesahkan kematian wartawan foto Mariam Abu Dagga.

Wartawan foto Moaz Abu Taha turut dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan hospital.

Sumber perubatan juga mengesahkan kepada Anadolu bahawa Ahmed Abu Aziz, seorang wartawan bebas dengan laman berita Tunisia dan Maghribi, meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya dalam serangan Israel.

JEAANSP COD Murah Digital TV 32/26/24/22/19-inch HD 1080P DTV MYTV Smart TV 32/40/43/46/50 Inch Android 14.0 TV
Air fryer Household Smokeless Toaster Timer Oil Free Roaster Breakfast Machine Electric Oven Convection cooker
AXN Foldable Table Anti-slip Mini Table Laptop Notebook Meja Lipat Belajar Pelajar Kanak Computer Study Table 折叠电脑桌
Rak Baju /Single Double Pole Strong Steel Structure Laundry Cloth Rack Organizer / Cloth Hanger Stand / Penyangkut Baju