Polis dilaporkan menahan lima individu, termasuk dua remaja perempuan selepas disyaki terbabit kegiatan pelacuran melalui aplikasi MiChat dalam serbuan Op Noda di sebuah hotel, di Lahad Datu, malam tadi.
Menurut laporan BH Online, dalam operasi jam 9.30 malam itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan tiga lelaki dan dua remaja perempuan, masing-masing berusia 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, dipetik berkata siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral itu dipercayai aktif sejak Mei lalu dengan menggunakan aplikasi MiChat bagi mencari pelanggan.
“Bayaran yang dikenakan antara RM150 hingga RM300 bagi setiap langganan.
“Polis turut merampas telefon pintar, kondom, resit hotel dan kunci bilik yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini,” dia dipetik sebagai berkata dalam kenyataan media, hari ini.



