Pertahanan udara Rusia pada Sabtu menjatuhkan dron menuju ke Moscow dan pakar sedang memeriksa serpihan di atas tanah, lapor Reuters memetik Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin di Telegram.
Beberapa lapangan terbang di tengah Rusia menggantung operasi kerana kebimbangan terhadap ruang udara yang selamat, agensi pengangkutan udara Rusia, Rosaviatsia dipetik sebagai berkata.
Dalam satu siri pengumuman selama beberapa jam, Rosaviatsia dilaporkan berkata operasi telah digantung di lapangan terbang di Izhevsk, Nizhniy Nolvgorod, Samara, Penza, Tambov dan Ulyanovsk, timur dan tenggara Moscow.
Menurut Reuters, pegawai di lapangan terbang di bandar kedua terbesar Rusia, St Petersburg, dipetik oleh agensi berita Rusia sebagai berkata bahawa berpuluh-puluh penerbangan telah ditangguhkan.
Kementerian Pertahanan Rusia dilaporkan berkata unit pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan 32 dron dalam tempoh tiga jam di beberapa kawasan di tengah negara itu.



