Tiga remaja lelaki maut manakala tiga yang lain cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Sultan Sulaiman Shah, Banting, Kuala Langat, awal pagi tadi, menurut laporan BH Online.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.56 pagi tadi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bergegas dan tiba di lokasi 8 minit kemudian.
Sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dipercayai terbabas ke dalam parit.
“Siasatan mendapati, ada enam orang mangsa adalah remaja lelaki dipercayai semua warga tempatan berada dalam keadaan bertindih di dalam kenderaan berkenaan.
“Bomba mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan semua mangsa iaitu bermula jam 4.20 pagi sehingga mangsa keenam pada jam 5.15 pagi sebelum dihantar ke Hospital Banting,” dia dilaporkan berkata kepada media.
Ahmad Mukhlis dipetik berkata, mangsa pertama, kedua dan kelima yang dikeluarkan didapati mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan juga kaki manakala mangsa ketiga, keempat dan keenam yang berjaya dikeluarkan meninggal dunia di lokasi kejadian.



