Dua belas orang terbunuh dan empat hilang selepas bahagian daripada jambatan yang sedang dalam pembinaan runtuh pada Jumaat di barat laut China, menurut berita disiarkan laman sesawang Berita Arab dilaporkan AFP memetik media kerajaan.
Menurut siaran itu, video diterbitkan oleh penyiar negeri CCTV menunjukkan tengah bahagian gerbang jambatan tiba-tiba jatuh dan terjun ke dalam perairan Sungai Kuning di bawah.
Puncanya ialah kegagalan kabel keluli, agensi berita Xinhua dipetik sebagai berkata.
Akhbar People’s Daily dilaporkan berkata 15 pekerja dan seorang pengurus projek berada di lokasi pada masa itu.
Dua belas orang telah disahkan maut dan empat orang masih hilang, lapor CCTV.
Jambatan di Laluan Kereta Api Sichuan-Qinghai itu ialah jambatan gerbang berkekuda berkembar berterusan terbesar di dunia, menurut People’s Daily.
Ia juga merupakan jambatan gerbang kekuda keluli kereta api pertama China yang merentangi Sungai Kuning – yang kedua terpanjang di negara itu – kata laporan itu.
Imej diterbitkan di media kerajaan dilaporkan menunjukkan jambatan yang sebahagiannya dibina dengan bahagian tengahnya hilang dan dua menara perancah gergasi serta beberapa kren di sebelahnya.
Beratus-ratus pekerja penyelamat dikerah untuk operasi mencari dan menyelamat, Xinhua dipetik sebagai berkata.



