Mayat pekerja terakhir yang hilang dalam lombong Chile runtuh ditemui, menjadikan jumlah kematian kepada enam, lapor Xinhua memetik pendakwa raya wilayah berkata pada Ahad.
“Hari ini kami menyimpulkan langkah yang sangat penting, iaitu mencari mayat pekerja yang cedera,” Aquiles Cubillos, pendakwa bagi wilayah O’Higgins Chile dilaporkan berkata.
Operasi menyelamat secara rasmi berakhir pada Ahad – seorang terbunuh pada awal; lima pelombong yang hilang kemudiannya ditemui mati; dan sembilan yang lain cedera telah dibenarkan keluar dari hospital, menurut laporan itu.
Pengeluaran di lombong itu dihentikan untuk mendapatkan mayat, kata National Copper Corporation of Chile (Codelco) milik kerajaan.
Lombong tembaga El Teniente itu runtuh pada Khamis, berikutan gempa bumi berukuran 4.2 magnitud di kawasan tengah negara itu, menurut Xinhua.
El Teniente dikatakan lombong tembaga bawah tanah terbesar di dunia, terletak 130 km ke selatan ibu kota Chile, Santiago – ia mempunyai lebih daripada 4,500 km laluan bawah tanah di tengah-tengah banjaran gunung Andes, pada ketinggian lebih 2,300 meter.



