SEREMBAN – Pekerja kedai serbaneka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah hampir RM200,000 milik sebuah koperasi, antara 2023 hingga 2024.
Tertuduh, Noorazwin Zullkifli, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh sebagai kerani (ketika kejadian) di Koperasi LB Johnson Seremban Berhad didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan wang berjumlah RM199,491.79 secara atas talian.
Tertuduh didakwa menggunakan peranti post terminal yang diamanahkan kepadanya melalui akaun Bank Kerjasama Rakyat milik Koperasi Kg LB Johnson Seremban Berhad ke akaun Bank Kerjasama Rakyat bernombor miliknya.
Perbuatan itu dilakukan antara 2 Februari 2023 hingga 22 Mac 2024 di Medan Koperasi, Kampung LBJ, Pejabat Koperasi Kampung LB Johnson
Seremban Berhad, Bandar Enstek, Nilai.
Justeru itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
Hukuman, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan.
Peguam Ahmad Muzhaffar Abdul Razak memberitahu mahkamah, anak guamnya kini bekerja di kedai serbaneka dengan pendapatan RM1,800 sebulan.
Tambahnya, tertuduh mempunyai tiga anak berusia empat hingga tujuh tahun di bawah tanggungannya memandangkan suaminya bekerja di ibu negara dan jarang pulang.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan kediaman setiap bulan, dilarang mengganggu saksi serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Sebutan semula pada 9 September.
BH ONLINE



