NILAI – Polis menahan seorang wanita pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) malam tadi, selepas didakwa menyerang seorang kanak-kanak lelaki dengan menendang dan memijak mangsa di kedai runcit kawasan perumahan Sri Palma Villa, Mantin, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek dikatakan mengesyaki mangsa yang berusia 11 tahun mencuri barang di kedai runcit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima laporan daripada seorang wanita tempatan kira-kira jam 3.30 petang.
“Wanita itu mendakwa anaknya dipukul dan diugut seorang wanita dikenali di sebuah kedai runcit.
“Sepasukan polis dari IPD Nilai menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an yang disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki itu, kira-kira jam 11 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, polis turut merampas sehelai baju berhud kelabu dan alat mainan berbentuk senjata sebagai barang kes.
Abdul Malik berkata, ketika siasatan, mangsa yang sedang membeli minuman di kedai itu dikatakan tiba-tiba diserang suspek dengan menendang dan memijak mangsa di muka dan kaki.
“Suspek turut didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa. Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis dan disaksikan seorang pelanggan,” katanya.
Katanya, suspek adalah pemegang kad OKU dan dipercayai mengalami masalah kesihatan mental.
“Suspek didakwa berada dalam keadaan halusinasi ketika kejadian dan mengesyaki mangsa mencuri barangan dari premis walaupun tiada bukti yang menunjukkan sedemikian,” katanya.
Abdul Malik berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban dan mengalami bengkak pada hidung serta lebam di beberapa bahagian kaki.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada pagi tadi dan majistret membenarkan dia direman empat hari sehingga 19 Julai untuk membantu siasatan,” katanya.
BH ONLINE



