‘Ustaz’ Farid Abu Auliya didenda RM2,800 ajar agama tanpa tauliah

SHAH ALAM – Seorang ‘ustaz’ yang ditahan polis kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah baru-baru ini didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah, tahun lalu.

Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin memutuskan demikian selepas tertuduh, Faridul Firdaus Zaulkapli, 39, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

“Faham, saya mengaku salah,” kata lelaki itu dalam nada sebak.

Mahkamah sama turut memerintahkan bapa kepada 10 anak itu dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, penceramah bebas itu didapati mengajar perkara mengenai agama Islam tanpa tauliah yang diberikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah surau di Seksyen 19, jam 8.15 malam hingga 8.40 malam, 2 September tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan Pendakwa Raya Syarie, Siti Nor Hashibah Jamhari, tertuduh yang mempunyai tiga isteri bekerja sebagai penceramah bebas dengan pendapatan RM3,500 sebulan.

“Penahanan dibuat penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaik menerima aduan tertuduh disyaki mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau.

“Pemerhatian dilakukan saksi mendapati pada hari kejadian tertuduh berada di ruangan mihrab dan di meja penceramah serta sedang mengupas ayat daripada surah As-Sajdah,” katanya.

Menurutnya, sebaik kuliah selesai, lelaki itu ditahan jam 9.10 malam dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pentauliahan agama daripada Bahagian Dakwah MAIS untuk mengajar agama di Selangor.

Faridul Firdaus dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah hilang pendapatan dan menyesal dengan kesalahan dilakukan.

“Saya mohon tidak dipenjarakan kerana mempunyai 10 anak, yang paling bongsu berusia sembilan bulan serta menanggung tiga isteri dan ibu bapa.

“Saya ingin memaklumkan pentauliahan saya tamat pada 2024 dan sudah dua kali membuat rayuan kepada pejabat agama.

“Saya menyesal dengan kesalahan ini dan tiada niat untuk mencemar undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Nor Hashibah membantah hukuman ringan dikenakan kepada tertuduh kerana jelas lelaki itu tidak menghormati sistem kehakiman di Selangor.

“Kes ini mendapat perhatian umum dan hukuman maksimum perlu diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh. Semoga hukuman kecil di dunia ini dapat memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat di luar sana,” katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Siti Rahmah menasihatkan tertuduh supaya mematuhi undang-undang yang digubal bagi membendung sebarang penyelewengan.

“Nak ajar agama kena ada tauliah, undang-undang digubal untuk mencegah orang menyeleweng.

“Ajaran sesat dah berapa banyak kena dakwa, sebab itu kena ada tauliah agama untuk jaga agama Islam,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, Faridul Firdaus turut dikenakan penalti RM1,500 kerana gagal hadir ke prosiding pada 21 Mei lalu atas kesalahan sama sehingga waran tangkap dikeluarkan.

Sebelum ini, media melaporkan, polis sedang menyiasat seorang penceramah bebas yang didakwa menyebarkan video seks membabitkan isterinya dan beberapa wanita lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

BH ONLINE

JEAANSP COD Murah Digital TV 32/26/24/22/19-inch HD 1080P DTV MYTV Smart TV 32/40/43/46/50 Inch Android 14.0 TV
Air fryer Household Smokeless Toaster Timer Oil Free Roaster Breakfast Machine Electric Oven Convection cooker
AXN Foldable Table Anti-slip Mini Table Laptop Notebook Meja Lipat Belajar Pelajar Kanak Computer Study Table 折叠电脑桌
Rak Baju /Single Double Pole Strong Steel Structure Laundry Cloth Rack Organizer / Cloth Hanger Stand / Penyangkut Baju