KUALA LUMPUR – Warga Malaysia akan menikmati kemasukan tanpa visa ke China bagi lawatan jangka pendek sehingga 90 hari dalam tempoh 180 hari, berkuat kuasa 17 Julai.
Kedutaan China di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, di bawah Perjanjian Pengecualian Visa Bersama Malaysia-China, pemegang pasport Malaysia dan China boleh memasuki, keluar atau transit di negara masing-masing tanpa visa dan tinggal sehingga 30 hari bagi setiap lawatan, bermula esok.
Kemudahan bebas visa itu merangkumi tujuan seperti pelancongan, lawatan keluarga, urusan perniagaan, pertukaran budaya, urusan peribadi, rawatan perubatan dan perjalanan sebagai anak kapal.
“Tempoh tinggal secara terkumpul tidak boleh melebihi 90 hari dalam mana-mana tempoh 180 hari,” kata kenyataan itu.
Kedutaan menjelaskan, mereka yang merancang untuk tinggal melebihi 30 hari, atau ingin bekerja, belajar, menjalankan aktiviti media atau apa-apa aktiviti lain yang memerlukan kelulusan awal, perlu memohon visa bersesuaian sebelum memasuki negara berkenaan.
Perjanjian melanjutkan pengecualian visa antara China dan Malaysia itu dipersetujui ketika lawatan negara Presiden China Xi Jinping di Kuala Lumpur, April lalu.
BH ONLINE – BERNAMA



