Polis tahan wanita dalang tipu permohonan pinjaman bank RM1.33 juta

KUALA TERENGGANU – Polis menahan reman seorang wanita yang juga suspek utama kes penipuan permohonan pinjaman peribadi bank membabitkan kerugian RM1.33 juta semalam.

Suspek ditahan reman mulai hari ini sehingga Selasa depan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin, berkata suspek yang dipercayai dalang sindiket berkenaan dikatakan individu yang menguruskan keseluruhan proses pinjaman termasuk mencari peminjam dan mengendalikan dokumen palsu.

“Wanita terbabit ditahan dalam satu operasi khas dijalankan pasukan Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu, sekali gus berjaya melumpuhkan sindiket yang bergerak aktif sejak tahun lalu.

“Tangkapan terhadap wanita itu dilakukan hasil siasatan polis terhadap laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berhubung kes penipuan pembiayaan pinjaman peribadi membabitkan kerugian RM1.33 juta antara Januari hingga April 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket memperdaya bank tempatan dengan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan pinjaman.

Katanya, permohonan itu diuruskan melalui pos tanpa kehadiran peminjam di bank atau pengesahan tandatangan di hadapan pegawai bank.

Menurutnya, selepas pinjaman diluluskan dan wang dipindahkan ke akaun peminjam, peminjam gagal membuat sebarang bayaran balik.

Jelasnya, hasil audit dalaman bank mendedahkan dokumen digunakan tujuh peminjam adalah palsu.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis merampas tujuh kad mesin pengeluaran automatik (ATM) iaitu empat keping milik peminjam dan tiga keping milik suspek.

“Turut dirampas dua unit telefon bimbit, beberapa dokumen berkaitan permohonan pinjaman,” katanya.

Mohd Khairi berkata, hasil siasatan awal suspek utama dipercayai bertindak sebagai ejen yang menawarkan pinjaman kepada individu yang tidak layak memohon pinjaman sah seperti tiada pendapatan tetap.

Suspek juga dikatakan mengenakan caj komisen 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan dan kad ATM peminjam akan dipegang suspek sehingga pinjaman dimasukkan ke akaun peminjam.

Menurutnya semua urusan awal dilakukan melalui aplikasi WhatsApp sebelum perjumpaan fizikal dibuat.

BH ONLINE

JEAANSP COD Murah Digital TV 32/26/24/22/19-inch HD 1080P DTV MYTV Smart TV 32/40/43/46/50 Inch Android 14.0 TV
Air fryer Household Smokeless Toaster Timer Oil Free Roaster Breakfast Machine Electric Oven Convection cooker
AXN Foldable Table Anti-slip Mini Table Laptop Notebook Meja Lipat Belajar Pelajar Kanak Computer Study Table 折叠电脑桌
Rak Baju /Single Double Pole Strong Steel Structure Laundry Cloth Rack Organizer / Cloth Hanger Stand / Penyangkut Baju