KUALA LUMPUR – Lima kru termasuk juruterbang helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan selamat selepas pesawat mereka naiki itu terbabit kemalangan berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor, hari ini.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, helikopter dikendalikan seorang juruterbang itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi dengan membawa empat penumpang.
“Semua lima mangsa diselamatkan Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Johor,” kata kenyataan itu.
CAAM berkata, semua mangsa sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk penilaian dan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.
Siasatan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
BH ONLINE



