MANJUNG – Mayat dua lelaki termasuk satu daripadanya reput ditemukan di dua lokasi berasingan sekitar Ayer Tawar, di sini, hari ini selepas kedua-duanya dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, berkata dua laporan diterima pihaknya semalam berkaitan kehilangan dua individu itu, dengan masing-masing dilaporkan hilang sejak 27 Jun lalu dan semalam.
Katanya, mayat reput iaitu mangsa yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 27 Jun ditemukan jam 8.30 pagi tadi di sebuah rumah kosong di Taman Biru, Ayer Tawar hasil maklumat awam.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang dikatakan tidak pulang ke rumah sejak semalam ditemukan dalam kebun kelapa sawit di Jalan Taman Sri Perak 2, Ayer Tawar juga dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar jam 9.39 pagi tadi, juga hasil maklumat awam.
“Pegawai perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, dengan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya ke Balai Polis Ayer Tawar di talian 05-6722222 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau Hotline Whatsapp 017-6828005 bagi membantu siasatan.
BH ONLINE



