KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai semuanya berjumlah lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang tempatan dan asing milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Semua wang tunai yang dimohon untuk dilucutkan hak itu ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika) dan CHF 3 juta (Swiss Franc); €12,164,150 (Dolar Euro); ¥363,000,000 (Yen), £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand); AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia).
Dalam permohonan difailkan di Mahkamah Sesyen itu, SPRM yang diwakili Pendakwa Raya memohon melucut hak wang tunai berkenaan dengan menamakan bekas Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dan Perdana Menteri Kesembilan itu sebagai responden pertama dan kedua.
Menurut notis yang difailkan, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selepas SPRM berpuas hati bahawa wang yang disita dan disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan mengikut Seksyen 36(2) ASPRM 2009.
Seksyen 36(2) adalah berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan oleh SPRM untuk mengisytiharkan harta. SPRM turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 25 Jun lalu, akhbar melaporkan kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ‘safehouse’ yang dikaitkan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.
Azam turut mengesahkan, kes membabitkan Ahli Parlimen Bera itu juga sudah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat pertuduhan berkaitan jenayah membabitkan Ismail Sabri.
Beliau berkata, TPR bersetuju untuk difailkan proses pelucutan aset yang dirampas itu dalam tempoh seminggu atau dua lagi selepas agensi itu kemukakan afidavit untuk melucutkan hak.
Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
BH ONLINE