KUALA LUMPUR – Peguam SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, syarikat pelaburan strategik negara itu menjadi alat dan mangsa penipuan berskala besar, di mana Datuk Seri Najib Razak adalah benefisiari utama.
Datuk Lim Chee Wee dalam hujahannya, berkata walaupun SRC International ditubuhkan untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi hakikatnya ia telah digunakan untuk menguntungkan Najib.
Chee Wee yang berhujah pada prosiding kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Nik Faisal Ariff Kamil bagi menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion, berkata dana yang diseleweng melalui syarikat itu adalah wang pencen daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Pada 2020, Nik Faisal yang diburu bagi membantu siasatan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dikenal pasti berada di Hong Kong.
“Walaupun SRC International mengalami kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion, defendan pertama (Najib) secara peribadi menerima AS$120 juta ke dalam akaunnya sendiri dan RM42 juta lagi yang menjadi subjek kepada satu lagi kes saman berasingan.
“Beliau juga menggunakan peranannya sebagai pengarah bayangan syarikat, di mana beliau mengawal Lembaga Pengarah melalui resolusi pemegang saham berkaitan keputusan makro penting yang sepatutnya diputuskan oleh Lembaga PengarahSRC sendiri.
“Najib menandatangani resolusi pemegang saham untuk meluluskan dan mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM4 bilion dan menyalurkan RM3.6 bilion daripada pinjaman itu untuk tujuan tidak sah.
“Ini membawa kepada Najib sebagai dalang utama di sebalik kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion,” katanya.
Pengarah bayangan merujuk kepada sekarang individu yang, walaupun tidak dilantik secara rasmi sebagai pengarah syarikat, mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas lembaga pengarah syarikat dan keputusannya.
Menurut peguam itu, Najib sering menukar keterangannya dengan memberikan lima versi berbeza ketika ditanya berhubung penerimaan AS$120 juta dana SRC International yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.
Chee Wee berkata, Najib menafikan menerima wang daripada dana syarikat itu, sebaliknya mendakwa ia adalah derma selain menegaskan akaun berkenaan tidak diuruskannya sendiri dan semata-mata untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Hujah Chee Wee lagi, Najib dicabar dalam konteks kredibilitinya dan ‘tort’ salah guna apabila mengesahkan dalam afidavit bahawa dia menerima RM42 juta daripada SRC International, namun memberikan lima versi berbeza dalam keterangannya di mahkamah.
“Antaranya, D1 (Najib) menyatakan afidavit itu dideraf secara teruk selain menyatakan beliau dikelirukan oleh maklumat yang diberikan kepadanya.
“Tetapi apabila ditanya siapa yang memberikan maklumat salah itu, D1 tidak dapat memberikan jawapannya selain mendakwa beliau turut dikelirukan oleh laporan media.
“Jika ia benar sekalipun, ini mencerminkan sikap cuai seorang Perdana Menteri (ketika itu) yang bergantung secara melulu kepada ulasan awam yang tidak disahkan di media sosial mengapa RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya,” katanya.
Chee Wee berkata, Najib menyalahgunakan jawatan awamnya dengan, antara lain, mendapatkan dua pinjaman bernilai RM2 bilion dan dua Jaminan Kerajaan tanpa menjalankan usaha wajar (due diligence) dan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu bagi sebuah syarikat yang digambarkan sendiri olehnya sebagai sebuah “syarikat baru yang tiada rekod prestasi.”
Beliau berkata, pinjaman itu sudah mengalami kegagalan bayaran balik yang cuba disembunyikan oleh Najib dengan meluluskan beberapa pinjaman jangka pendek kepada SRC untuk mengelakkan kegagalan bayaran, tanpa sebarang siasatan terhadap keupayaan untuk membayar balik.
Katanya, jumlah keseluruhan pinjaman jangka pendek itu amat mengejutkan, mencecah sehingga RM642 juta, yang diperoleh untukmengelakkan perhatian bahawa SRC telah gagal membayar balik pinjaman KWAP, dan bagi menutup jejak penipuan demi kepentingan dirinya sendiri.
Pada 7 Mei 2021, SRC International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.
Dalam kes saman terbabit, bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.
Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Prosiding hujahan du hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.
BH ONLINE