JOHOR BAHRU – Seorang pemandu van sekolah wanita tersepit, manakala tiga murid cedera selepas kenderaan itu terbabit dalam nahas dengan sebuah treler membawa muatan simen di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran susur keluar Bandar Dato Onn, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, van sekolah terbabit membawa 22 murid yang baru pulang dari sekolah.
Treler berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dilaporkan selamat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Muhamad Azizi Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.10 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari BBP Tebrau dan BBP Kempas dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu van sekolah dan treler membawa muatan simen.
“Terdapat 22 murid dalam van sekolah itu dengan pemandu wanita berusia 45 tahun didapati tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan.
“Tiga murid turut mengalami kecederaan ringan, masing-masing membabitkan seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, manakala 19 pelajar lain tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Azizi berkata, anggota bomba mengambil masa setengah jam mengeluarkan mangsa yang tersepit
menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya serta tiga lagi kanak-kanak lelaki cedera kepada pasukan ambulans untuk tindakan lanjut.
“Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan,” katanya.
BH ONLINE