ISLAMABAD, 4 Julai – Sebuah bangunan kediaman lima tingkat runtuh di bandar pelabuhan selatan Pakistan, Karachi pada Jumaat, membunuh tujuh orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 10 cedera, kata pegawai polis.
Pegawai polis di kawasan itu memberitahu Xinhua bahawa lebih 30 orang terperangkap di bawah serpihan selepas bangunan itu runtuh di kawasan Lyari di Karachi, dan usaha menyelamat sedang dijalankan untuk mendapatkan individu yang tinggal.
Pegawai berkata jentera berat digunakan untuk membantu dalam mengalihkan runtuhan bangunan usang itu, yang telah ditanda tidak selamat oleh pihak berkuasa, sambil menambah bahawa dua (penghuni) bangunan bersebelahan juga dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Saksi mata berkata bangunan itu runtuh berikutan beberapa hentakan yang disangka oleh penduduk sebagai gempa bumi, sambil menambah bahawa ia tiba-tiba runtuh selepas beberapa jam kejutan sekejap-sekejap.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengepung kawasan itu, dan semua mangsa dipindahkan ke hospital tempatan, di mana beberapa orang dikatakan berada dalam keadaan kritikal.
Satu jawatankuasa peringkat tinggi telah dibentuk untuk menyiasat kejadian itu.
XINHUA