KOTA BHARU – Hanya enam negara yang menjadi sasaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjejaki harta bernilai tinggi milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga serta proksi bekas Menteri Kewangan itu, yang tidak diisytiharkan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, nama kesemua negara itu akan diumumkan selepas ini.
Katanya, pihaknya akan memohon kerjasama melalui bantuan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang mana perlu melalui pihak jabatan peguam negara.
“Enam negara (termasuk United Kingdom). Kita akan umumkan nama negara itu selepas ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Persaraan Bakti Disanjung Budi Dijunjung Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain.
Pada majlis itu, Rosli turut menyerahkan tugas kepada Azmin Yusuff yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Kelantan yang baru.
Mengulas lanjut Azam berkata, harta-harta milik Tun Daim yang berbentuk domestik dalam negara akan dipohon untuk dilucuthakkan jika didapati ada unsur-unsur kesalahan yang boleh dilucuthakkan.
Pada 3 Jun lalu, tiga kediaman mewah di London menjadi di antara tujuh hartanah dan satu akaun bank membabitkan nilai berjumlah GBP132 juta (RM758.2 juta) didakwa milik isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, dibekukan SPRM.
Hasil siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Bagaimanapun, pada 23 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung sementara perintah berkenaan selepas Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan permohonan dibuat peguam Na’imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, terhadap perintah pembekuan secara ex parte yang diperoleh SPRM itu.
Kemudian pada 25 Jun lalu, SPRM memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi melucut hak Menara Ilham setinggi 60 tingkat yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan Daim.
Terdahulu, pada 22 Mei lalu, Azam mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan sudah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Tun Daim, keluarganya dan proksi.
Azam berkata, maklumat terkini menunjukkan aset itu tidak diisytiharkan ketika siasatan SPRM pada 2023.
BH ONLINE